1,390 pimpinan UMNO bahagian Pahang dalam Program Penerangan Isu-Isu Semasa Negara di Dewan Bandaraya, Majlis Bandaraya Kuantan, di sini

KUANTAN – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang akan berlangsung minggu depan kali ini hanya akan dihadiri perwakilan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan ‘Friends of BN’ sahaja.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada mereka menyelesaikan perkara-perkara berhubung urusan dalaman UMNO dan BN.

“Oleh itu, bukan sahaja parti-parti lain tidak dijemput, malah duta-duta asing pun kali ini tidak dijemput.

“Tahun-tahun sebelum ini kita ada jemput, tapi tahun ini kita tak jemput. Maka, setakat ini, itulah keputusannya,” katanya dalam sidang media di Dewan Bandaraya, Majlis Bandaraya Kuantan, di sini petang ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bersama  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Kanan) dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Hassan Ariffin.

Beliau sebelum itu bertemu 1,390 pimpinan UMNO bahagian Pahang dalam Program Penerangan Isu-Isu Semasa Negara sebagai langkah persiapan awal menghadapi PAU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Jelas Ahmad, beliau kini turut ditugaskan untuk memperjelas mengenai Kerajaan Perpaduan kepada ahli-ahli parti sehingga ke peringkat akar umbi, lebih-lebih lagi kepada enam negeri yang akan menghadapi PRN kelak.

Ketika ditanya jika BN akan bekerjasama lebih awal dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN nanti, Ahmad berkata perkara itu belum diputuskan.

“Kita telah bekerjasama dalam bentuk kerajaan. Kerjasama untuk parti bagi menghadapi PRN belum diputuskan bagaimana rupa bentuknya. Belum dibincangkan.

“Kita belum ada mesyuarat mengenai hal itu. Parti (BN dan PH) bermesyuarat sendiri-sendiri. Dua tiga hari lepas, PH telah bermesyuarat berbincang tentang PRN di enam negeri,” jelas Ahli Parlimen Pontian itu.

Ahmad juga enggan mengulas mengenai pergolakan yang dilaporkan timbul di Sabah yang membabitkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN.

“Sabah ni kita tunggu dan lihat. Perubahannya tu boleh berlaku dalam setiap jam. Jadi, kita tunggu dan lihat apa perkembangan situasinya,” ulasnya pendek.-MalaysiaGazette