Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harapkan pagar, pagar makan padi!

Itu nasib malang yang menimpa seorang lelaki warga emas apabila seorang lelaki warga asing yang digajikan sebagai penjaganya disyaki telah melesapkan wang simpanan dalam akaun banknya secara senyap di Taman Tun Dr. Ismail di sini baru-baru ini.

Kegiatan licik suspek warga Filipina itu terbongkar semasa pengadu berusia 85 tahun menyemak baki akaunnya di cawangan bank di sini mendapati baki wangnya semakin berkurangan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya telah menerima satu laporan daripada pengadu pada 20 Disember lalu mengenai kehilangan wang dalam simpanannya.

Katanya, pada jam lebih kurang pukul 10.30 pagi, semasa pengadu membuat semakan terperinci terhadap akaun miliknya dan mendapati terdapat penolakan wang mulai bulan September hingga bulan Disember 2022 bagi tujuan sales debit yang dianggarkan berjumlah RM47,940.61.

“Siasatan mendapati pengadu tidak mempunyai sebarang perbankan dalam talian dan kad ATM dalam simpanannya sepanjang transaksi tersebut berlaku tiada sebarang transaksi dalam talian dibuat oleh pengadu.

“Bertindak ke atas laporan polis, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Brickfields telah berjaya mengesan dan menangkap seorang lelaki warga Filipina yang bekerja sebagai penjaga kepada pengadu yang menghidap masalah kesihatan disyaki terlibat dalam kes jenayah siber itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau suspek ditahan pada 3 Januari lalu jam lebih kurang 7.45 malam di rumah pengadu.

Tambah Amihizam, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas dakwaan menipu.

Jelasnya, siasatan awal terhadap polis terhadap suspek lelaki berumur 37 tahun itu mendapati dia digajikan untuk bekerja sebagai pengurus kepada pengadu sejak 2 Mei 2022.

“Soal siasat lanjut suspek akhirnya membuat pengakuan kepada polis yang dia telah mengambil dan menggunakan kad ATM milik pengadu  untuk membuat 19 transaksi bagi pembelian barangan seperti gelang emas tangan, gold bar dan rantai emas melalui aplikasi e-dagang Lazada.

“Malah tidak terhenti sekadar itu, suspek juga telah menjual barangan emas itu di sekitar ibu negara dan wang hasil jualan barangan kemas tersebut telah digunakan untuk kegunaan peribadinya.

“Kini suspek berjaya direman polis bagi membantu siasatan selanjutnya dan akan diheret dan didakwa di Mahkamah Majistret Jalan Duta di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya mendedahkan data peribadi atau maklumat perbankan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali.

Beliau juga meminta orang ramai agar sentiasa membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi atau melaporkan kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika anda mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan. – MalaysiaGazette