Noorun Nashriah Ramli tiba di mahkamah bagi pertuduhan kes mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insetif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR — Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat yang mengendalikan program latihan, didakwa atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM112,000, di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Bagaimanapun tertuduh, CEO Ikon Technical Academy Sdn Bhd, Noorun Nashriah Ramli, 41, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, Noorun Nashriah didakwa memberikan invois Ikon Technical Academy bertarikh 9 Julai 2021 melalui seorang individu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya yang keseluruhannya berjumlah RM112,000 kepada empat ejen pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso.

Dia dituduh berbuat demikian dengan niat memperdayakan Perkeso dengan dokumen yang mengandungi pernyataan palsu mengenai Program Latihan Insentif Pekerja (Penjana) yang mana tuntutan program dibuat walaupun tidak dihadiri oleh peserta yang berdaftar dengan Perkeso.

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Menara Perkeso Putrajaya antara 13 Julai hingga 1 Oktober 2021 yang didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Mohammad Shaiful Nasir, memohon jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.

Bagaimanapun peguamnya,  Lum Kok Kiong memohon jaminan dikurangkan kepada RM35,000 dengan alasan anak guamnya menyara dua anak, selain ibu dan bapanya serta memohon pasoort diserahkan kepada mahkamah selepas pulang dari umrah.

“Bagi serahan pasport, kami mohon ia diserahkan selepas tertuduh pulang dari menunaikan umrah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, hakim Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan seperti yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 14 Februari ini bagi sebutan kes.

Di dua mahkamah lain, pengusaha kantin sekolah Amir Shariffuddin Haron, 56, dan pengusaha kedai makan, Farhan Taufik, 34, mengaku tidak bersalah masing-masing atas satu pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program tersebut yang berjumlah RM78,700.

Farhan Taufik tiba di mahkamah bagi pertuduhan kes mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 JANUARI 2023.

Kedua-dua tertuduh didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Perusahaan As Hayana Services dan Perusahaan Frans F&B Enterprise melalui seorang lelaki kepada seorang Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat Perkeso bagi menuntut insentif tersebut.

Mereka dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso dengan dokumen mengandungi pernyataan palsu tentang nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan itu bukan pekerja dua syarikat berkenaan, yang didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak di sini, pada 5 Mac dan 1 Jun 2021.

Hakim Rozina Ayob membenarkan Amir Shariffuddin diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, tertuduh dilarang ke luar negara dan melaporkan diri di pejabat SPRM di sini, sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Februari ini.

Hakim Suzana Hussin pula membenarkan Farhan dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang sama dan sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Februari ini.

Amir Sharifuddin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan mengemukakan dokumen palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 JANUARI 2023.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, dengan diwakili peguam Hasmah Nordin manakala pendakwaan Farhan dikendalikan Ikhwan Zaudii Nordin dan tidak diwakili peguam.

Untuk rekod, pada 14 Julai tahun lalu, media melaporkan SPRM mereman 37 individu bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Kesemua suspek yang berusia antara 28 hingga 70 tahun terdiri daripada pemilik, pengarah, pengurus dan pemilik saham syarikat serta jurutera dan kakitangan eksekutif.

Mereka ditahan menerusi Ops Hire yang dilancarkan di seluruh negara 13 Julai tahun lepas dengan kerjasama Perkeso. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast