Wan Azlan Wan Mamat.

SUBANG – Tindakan seorang lelaki yang memukul dan mengugut bunuh ibu kandungnya selepas mendakwa wanita itu menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain menerima padah apabila diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki itu diberkas selepas ibunya membuat laporan polis semalam.

Wanita yang berusia 58 tahun itu mendakwa ketika berada di kedainya di  Jalan Utama Taman Perindustrian Puchong Utama, dia telah didatangi anak kandungnya.

“Suspek yang berumur 35 tahun itu tiba-tiba memarahi ibunya sebelum memukul muka pengadu menggunakan sekeping fail dan mengugut mahu membunuhnya.

“Punca kejadian disebabkan suspek menuduh ibu kandungnya mempunyai hubungan dengan lelaki lain selepas kematian bapanya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Wan Azlan berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11.30 malam dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methaphetamine.

Suspek juga mempunyai 15 rekod kesalahan lampau termasuk jenayah dan narkotik.

Katanya, suspek dibenarkan direman selama tiga hari bermula hari ini dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan menakutkan secara jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya. – MalaysiaGazette