Tiga dari kiri: Menteri di Jabatan Perdana, Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar serta Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah bersama sama pengurusan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) merangkul Anugerah Labaittom daripada Kerajaan Arab Saudi bagi kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam (Best Awareness Program in the Islamic World) pada Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 di Jeddah, Arab Saudi.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah menyampaikan anugerah tersebut kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar semasa persidangan berlangsung pada 9 hingga 12 Januari 2023.

Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 ini telah disertai oleh 56 buah negara termasuk Malaysia yang diwakili oleh TH .

Keupayaan TH dalam membimbing Jemaah Haji Malaysia agar mempunyai pengetahuan yang baik dalam ibadat haji sentiasa mendapat pujian dan diiktiraf pelbagai pihak, terutamanya Kerajaan Arab Saudi.

“Ini adalah hadiah yang amat bermakna buat TH, lebih-lebih lagi tahun ini merupakan ulangtahun TH yang ke-60. Anugerah ini juga merupakan pengiktirafan buat negara kerana berjaya melahirkan sebuah institusi unik yang kini menjadi contoh kepada negara Islam yang lain.

“Malaysia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa atas usaha memberi bimbingan ibadat haji dan program kesedaran dalam aspek menjaga kesihatan kendiri, peradaban serta kepentingan kebersihan persekitaran,” kata Dr Mohd Na’im.

Menteri di Jabatan Perdana, Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar (barisan kedua ,lima dari kiri) bersama barisan pengurusan TH (Pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH , Datuk Seri Amrin Awaluddin, Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Setiap tahun, TH menganjurkan kursus-kursus haji di tanah air secara fizikal dan dalam talian di samping menyediakan para pembimbing ibadat haji untuk sesi bimbingan di tanah suci semasa jemaah haji mengerjakan ibadat haji.

Secara keseluruhannya, TH menyediakan lebih 500 Pengkursus Haji Tanah Air (PEKTA) dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) untuk membantu para jemaah.

Antara kursus-kursus yang dianjurkan oleh TH adalah kursus asas haji, kursus intensif haji, kursus perdana haji dan kursus khas haji.

TH juga menganjurkan Muzakarah Haji setiap tahun selepas selesai musim haji bagi meningkatkan lagi keberkesanan bimbingan haji termasuk menambahbaik modul kursus haji serta penerbitan yang dihasilkan demi kepentingan umat Islam Malaysia semasa melaksanakan ibadat di tanah suci.

Turut hadir semasa penyampaian anugerah tersebut adalah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta pegawai TH di Arab Saudi. – MalaysiaGazette