Datuk Hamdan Husin melawat lot kedai selepas Majlis Penyerahan Kunci Gerai Astaka Beserah, di Kuantan hari ini

KUANTAN –  Kerja-kerja menaik taraf 16 Gerai Astaka Beserah yang dibina sejak tahun 1979 masih mengekalkan reka bentuk perahu menelan kos lebih RM1 juta.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata kerja naik taraf mengambil masa setahun dan siap sepenuhnya penghujung tahun lalu.

“Hari ini MBK telah menyerahkan kunci kepada sembilan peniaga kekal di sini dan tujuh unit gerai lain akan dibuka kepada peniaga yang berminat.

“Kita jangkakan peniaga yang telah menerima kunci akan memulakan perniagaan mereka dalam tempoh seminggu lagi,” katanya.

“Gerai Astaka Beserah yang kekal rupa perahu ini bakal menjadi tarikan kepada pengunjung dan pelancong  untuk menikmati pelbagai jenis makanan disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus selesai Majlis Penyerahan Kunci Gerai Astaka Beserah di Kuantan, hari ini.

Hamdan Hussin

Hamdan berharap semua peniaga di sini supaya mengutamakan kebersihan makanan dan premis.

Tinjauan MalaysiaGazette melihat lot gerai dilengkapi jubin dinding dan lantai, ruangan ‘table top’ bermozek, dapur basah, sinki serta penapis minyak turut disediakan dengan sewaan RM400 sebulan.

Datuk Bandar Kuantan juga memaklumkan diskaun RM100 turut diberikan selama  setahun kepada peniaga sebagai penyuntik semangat kepada mereka di samping mengurangkan beban peniaga.

Sementara itu, Hamdan berkata, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengeluarkan 122 notis kompaun terhadap peniaga atas pelbagai kesalahan dalam tempoh 12 hari tahun ini  ke atas 154 premis perniagaan sekitar Bandaraya Kuantan.

Tindakan itu membuktikan masih ramai peniaga gagal mematuhi peraturan syarat lesen terutama dalam aspek kebersihan sehingga ratusan kompaun dikeluarkan.

“Sepanjang tahun lalu, lebih 500 premis diperiksa dan 801 kompaun bernilai lebih RM200,000 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Sepanjang tahun lalu juga sebanyak 47 premis dikenakan tindakan sita dan 13 lagi diarah tutup,” katanya. – MalaysiaGazette