Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Nilai ringgit dijangka terus disokong oleh harga komoditi yang tinggi dan mata wang tempatan diunjur diniagakan sekitar RM4.40 berbanding dolar AS tahun ini, kata Standard Chartered Bank.

Ketua Penyelidikan Tukaran Asing (FX) Asia Divya Devesh berkata, bank itu mengekalkan pendirian neutralnya terhadap ringgit sambil menambah resit ketibaan semula pelancong juga boleh menyokong imbangan perkhidmatan di bawah akaun semasa.

“Eksport barangan mungkin berkurangan dalam keadaan permintaan luaran yang lebih lemah dan ini mengurangkan lebihan barangan bersih. Mengenai imbangan pula, kami mengunjurkan lebihan akaun semasa sebanyak 3.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2023, meningkat berbanding 2.0 peratus pada 2022.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media mengenai tinjauan global dan Malaysia 2023 di sini, hari ini.

Sementara itu, Divya menambah, sekiranya prospek dolar AS berubah kepada lemah secara berterusan, ringgit mungkin lebih kukuh apabila syarikat korporat menjual deposit dolar AS mereka, yang meningkat kepada 10.1 peratus daripada deposit sistem perbankan pada akhir Sept 2022 berbanding 8.1 peratus pada akhir 2020

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan baharu masih perlu menangani keperluan untuk konsolidasi fiskal dan hasil Malaysia yang agak rendah kepada KDNK serta paras hutang yang tinggi dan pada masa yang sama mengimbangi aspirasi pertumbuhan dan keperluan sokongan isi rumah berpendapatan rendah.

“Bajet 2023 perlu dibentangkan semula kerana pilihan raya diadakan sebelum belanjawan itu diluluskan. Dalam belanjawan yang dicadangkan sebelum ini, kerajaan terdahulu membentangkan defisit fiskal yang lebih kecil iaitu 5.5 peratus berbanding 5.8 peratus pada 2022.

“Kita masih tidak dapat lihat langkah-langkah baharu manakah yang mungkin akan dicadangkan dan sama ada andaian terhadap peruntukan mungkin berubah,” katanya. – BERNAMA