Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berucap pada Majlis Amanat 2023 Menteri Perpaduan Bersama Warga Kementerian, di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan bakal menganjurkan sambutan Minggu Perpaduan peringkat nasional dalam usaha memperkasa penghayatan terhadap lima prinsip Rukun Negara.

Ia bagi membina perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, hasrat utama penganjuran program-program ini adalah untuk mempertingkatkan lagi semangat patriotisme dan rasa cinta kepada tanah air yang berasaskan prinsip Rukun Negara.

“Sambutan Minggu Perpaduan Negara adalah berlandaskan tema ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’, yang akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti ekspresi kasih, persahabatan dan persaudaraan yang akan memperkukuhkan semangat kekeluargaan.

“Pelaksanaan program ini juga adalah bertepatan dengan situasi semasa yang sering menjadi cabaran dalam memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat.

“Antara isu dan cabaran yang perlu ditangani adalah kurang kefahaman dan sensitiviti antara penganut agama serta penyalahgunaan dan pengawalan media informasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat 2023 Menteri Perpaduan Bersama Warga Kementerian, di sini, hari ini.

Jelas Aaron, ia antara lain memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat Madani iaitu usaha membentuk masyarakat yang maju daripada segi pemikiran, kerohanian dan pembangunan dengan menyemai nilai-nilai murni.

“Tumpuan turut diberikan pada sikap saling menghormati sesama rakyat sebagai norma sosial dan budaya ke arah pengukuhan penyatupaduan masyarakat secara keseluruhannya,” ujarnya.

Menurut Aaron, sambutan Minggu Perpaduan dijadual diadakan pada minggu terakhir bulan Mei depan selama tujuh hari bermula di Sarawak disusuli negeri lain dengan penglibatan pelbagai kementerian.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh warga Kementerian sebagai satu penyataan komitmen dan kesungguhan dalam mewujudkan persekitaran kerja yang telus dan bebas rasuah. – MalaysiaGazette