KUALA LUMPUR – UMNO harus bermuhasabah dan berani menghadapi kebenaran bahawa parti keramat orang Melayu itu kini berada di ambang untuk di “muziumkan” sekiranya tidak melakukan reformasi secara menyeluruh.
Wakil Puteri UMNO Johor Nor Akmar Muhammad berkata, UMNO tidak boleh mendabik dada walau menjadi kerajaan kerana parti itu hanya menunggu masa untuk ditalkinkan.
“Kepimpinan parti mestilah menentukan hala tuju baru dan lebih berani mengenalpasti faktor-faktor kekalahan dan penolakan rakyat terutamanya orang-orang Melayu kepada UMNO bagi memastikan parti ini boleh terus bernafas.
“Dan memulakan langkah yang baru dan lebih segar demi memulihkan kembali keyakinan ahli-ahli di akar umbi dan pengundi-pengundi,” kata dalam perbahasan Persidangan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Pulai itu menegaskan, terdapat beberapa sebab utama parti itu mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum yang lalu.
Perpecahan dalaman parti dalam kalangan pemimpin UMNO menjadi antara punca parti itu tewas pada PRU-15.
“Ada pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak menunjukkan ketaatan dan patuh kepada ketetapan parti dan menjadi petualang kepada UMNO,” kata Nor Akmar.
Tambah beliau, segelintir pemimpin yang tidak mempunyai roh perjuangan UMNO dan melakukan ‘urus niaga politik’ di belakang tabir untuk kepentingan ‘perut’ sendiri.
Menurut Nor Akmar, beberapa pemimpin UMNO yang mempunyai kuasa sebagai menteri Kabinet dan pengerusi di beberapa syarikat berkaitan kerajaan mempunyai sikap buruk, pentingkan diri dan sombong.
Kuasa dan jawatan tersebut dijadikan “senjata’ untuk mereka memecah-belahkan perpaduan ahli UMNO melalui gerakan-gerakan tidak bermoral dan berprinsip.
Mereka juga mengeluarkan kenyataan liar di media-media sosial dengan memperkecilkan institusi presiden dan parti UMNO.
Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor bagaimanapun berpandangan dan berkeyakinan bahawa pemulihan UMNO pasca PRU-15 mesti melalui proses demokrasi dalam parti.
Parti harus memberi ruang seluas-luasnyanya kepada perwakilan menentukan halatuju dan masa depan parti.-MalaysiaGazette