Fadzli Mohamad Kamal

KUALA LUMPUR – UMNO perlu melakukan bedah siasat yang jujur, ikhlas dan bukan berlapik-lapik dalam mencari kelemahan serta kekurangan parti.

Ini kerana, bedah siasat yang dibuat dengan cara berkias bagi menjaga air muka bukanlan satu perkara yang memberi kebaikan kepada parti, kata wakil Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.

Menurutnya, jika ahli UMNO sayangkan parti mereka perlu bersedia untuk dikritik dan ditegur.

“UMNO mesti lakukan post mortem yang benar-benar menonjolkan di manakah kelemahan dan kesilapan. Post mortem yang memberitahu, apakah kekurangan dan kesalahan.

“Bukannya post mortem yang dilakukan secara berlapik-lapik. Yang berkias-kias. Yang penuh dengan pantun-pantun dan puisi. Yang bertujuan untuk menjaga air muka dan kononnya ingin menjaga hubungan baik.

“Malah, dalam post mortem yang kita lakukan, kita mesti memikirkan mekanisme baharu untuk mengukur dan menilai prestasi. Mekanisme yang lebih objektif, strategik, dan praktikal,” katanya yang merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Raub.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sementara itu, Fadzli berkata, UMNO mesti melabur secara besar-besaran dalam data, kajian dan penyelidikan.

Katanya, tidak rugi mengutamakan ilmu apatah lagi untuk sebuah parti yang hidupnya berteraskan masyarakat yang sedang berdepan dengan pelbagai enigma dan dilema.

Ujar beliau, dengan segala persoalan yang dihadapi oleh masyarakat hari ini, UMNO mesti menjadi parti yang mempunyai idea dan cadangan penyelesaian.

“Ringkasnya, UMNO mesti mempunyai pangkalan data dan sistem pengurusan ilmu pengetahuan yang moden dan mantap.

“Kita tidak boleh terus menerus membuat keputusan secara membuta tuli, atau dengan meneka emosi dan sentimen masyarakat berdasarkan pemerhatian, culaan atau dengan sekadar membaca beberapa komen di Facebook, Twitter atau TikTok,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast