Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bercakap kepada media selepas Konvensyen Pilihanraya PKR negeri Selangor di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2023.

SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pertukaran kepimpinan dalam UMNO sekiranya berlaku tidak akan memberikan kesan kepada Keraajan Perpaduan.

Jelasnya, langkah kerjasama itu telah dimeterai menerusi satu perjanjian bersama parti-parti politik dalam gabungan untuk menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Apapun keputusan pemilihan UMNO nanti, saya harap tidak akan ada kesan kepada kerajaan kerana itu adalah intipati dan semangat semasa kita tandatangani perjanjian Kerajaan Perpaduan.

“Ini kerana UMNO BN dan PH serta GPS dan GRS bersetuju 100 untuk satu perkara iaitu kerajaan yang stabil untuk rakyat.

“Kita tidak boleh lalui Kerajaan Persekutuan ditukar selama dua tahun dan ada timbul kesan yang cukup teruk kepada rakyat, kalau tak suka lima tahun tukar balik,” katanya dalam sidang media pada Konvensyen Pilihan Raya PKR Selangor, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor yang juga Ketua PH Selangor, Datuk Seri Amiruddin Saari.

Jelas Rafizi lagi, secara prinsipnya perubahan dalam kepimpinan UMNO tidak memungkinkan kepada pembatalan perjanjian kerana perlu melalui semula proses di peringkat parti.

“Pimpinan ketika itu telah mendapatkan keputusan muktamad di peringkat parti mengikut proses membuat keputusan mereka, jadi UMNO sudah melalui proses itu sebelum dia menyertai kerajaan, PH pun sudah buat.

“Kalau pun ada pertukaran kepimpinan dalam UMNO, mereka akan melalui proses itu semula kecuali contohnya anggota UMNO buat keputusan yang lain.

“Tapi kalau ada pertukaran pimpinan yang baharu sebagai contohnya dalam UMNO,  mereka kena lalui balik proses buat keputusan itu dalam parti, kalau nak buat keputusan yang berbeza daripada yang ada sekarang,” jelas Rafizi lagi.

Ditanya mengenai kerjasama PH dengan UMNO Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Kedah, Pengarah Pilihan Raya PKR itu berkata, sememangnya keputusan mengenai perkara itu akan dibuat kedua-dua pihak.

“Setakat ini, gambaran yang diterima ialah akan ada kerjasama untuk PRN di enam negeri. Tapi, proses itu bergantung kepada perkembangan berlaku dlm UMNO,

“Besar kemungkinan akan ada pemilihan UMNO. Ia tertakluk proses dalaman UMNO yang diluar kawalan PH,” katanya.

Lebih daripada itu, Rafizi berkata PH terus membuat sasaran untuk pertahankan tiga negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang.

“Di Kedah, kita akan pertahankan kerusi tradisional. PKR ada lima, DAP dan Amanah ada dua atau tiga kerusi.

“Sementara tunggu proses dalaman UMNO itu PKR teruskan persiapan seperti biasa,” katanya.

Rafizi turut berkata, rakyat selesa dengan Kerajaan Perpaduan kerana ada kestabilan dan pengundi di negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang adalah pengundi yang berorientasikan keadaan ekonomi negara.

“Penyokong di bandar, separa bandar sokong gabungan PH-BN kerana mahukan kestabilan dan pemulihan ekonomi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast