Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menghargai kepercayaan yang diberikan oleh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2022 kepada beliau dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk terus menerajui kepimpinan parti.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, mereka akan berganding bahu bagi terus menakhodai bahtera UMNO untuk penggal akan datang.

“Biar pun gelombang, biar pun badai, biar pun ribut taufan, insya-Allah kami berdua akan terus membawa bahtera UMNO ini menuju ke pelabuhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Dalam proses pengundian yang dijalankan sebelum penggulungan, majoriti perwakilan menyokong usul supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan tahun ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberi bayangan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) akan diteruskan pada enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Malah beliau meminta jentera parti di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan agar bersedia untuk kembali menjadi kerajaan negeri atau sebahagian daripadanya.

“Insya-Allah, kita akan menghadapi PRN dengan gagah dan kuat khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” jelasnya.

Ahmad Zahid berpandangan, Kerajaan Perpaduan adalah solusi terbaik untuk UMNO bagi mengelak parti itu sekali lagi diratah perpaduannya.

Beliau turut menegaskan,  agenda pecah dan perintah yang disasarkan terhadap UMNO semasa era kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu adalah mudarat yang paling besar terhadap parti.

Ahmad Zahid menambah, kesannya dapat dilihat dengan jelas menerusi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kita tidak boleh membenarkan lagi agenda seumpama itu berlangsung kepada parti pasca PRU-15,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Usul tiada pertandingan Presiden, Timbalan Presiden UMNO lulus

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast