Antara perwakilan yang bersorak pada Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2022 hari ini meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Ia disahkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil melalui hantaran Facebooknya petang ini.

Menurutnya, usul yang bertujuan memastikan kestabilan parti itu telah diluluskan.

“Alhamdulillah setelah dicadang dan dibahas, semua usul yang dibawa oleh perwakilan-perwakilan UMNO dari negeri-negeri di seluruh Malaysia termasuk usul tambahan (supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dikekalkan dan tidak dicabar pada pemilihan tahun ini) telah diterima dan disokong oleh hampir semua perwakilan dalam Dewan Merdeka petang ini,” jelasnya.

Difahamkan, kira-kira 98 peratus perwakilan menyokong usul tambahan yang dibawa oleh wakil Negeri Sembilan, Mohd. Shukri Shamsuddin semalam.

Terdahulu beberapa penyokong UMNO memaklumkan tentang kelulusan usul tersebut melalui media sosial masing-masing.

“Alhamdulillah, perwakilan meluluskan usul tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan 2023,” kata bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

Bagaimanapun setakat ini UMNO belum mengeluarkan pengumuman rasmi mengenai kelulusan usul tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast