Foto: APMM Selangor

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima warga asing bersama bot nelayan tempatan kelas C di perairan Sungai Besar, Selangor semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata, keempat-empat lelaki itu diberkas kira-kira jam 12.50 tengah hari ketika bot ronda Maritim Malaysia membuat pemeriksaan ke atas bot nelayan dalam Op Ehsan di kedudukan 5.2 batu nautika dari Sungai Besar.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan empat kru warga asing berusia antara 31 hingga 54 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan pemilik bot didapati menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia selain turut ditemukan lebih kurang 200 kilogram ikan campur dan peralatan menangkap ikan di atas bot,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kesemua mereka dan bot nelayan yang dirampas itu dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

bot nelayan tempatan yang ditahan bersama lima warga asing yang didapati bekerja tanpa dokumen dan kebenaran oleh APMM di perairan Selangor. Ihsan APMM Selangor

“Kesemua warga asing itu dan bot nelayan tempatan itu sedang disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Malah, mereka turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999. – MalaysiaGazette