KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan terus kekal bersama beberapa rakan parti lain dalam Gerakan Tanah Air (GTA) walaupun Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah menarik diri dan keluar dari pakatan itu.
Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, parti itu tidak akan berganjak walau dalam keadaan apa sekali pun sehingga jemaah pimpinan GTA yang ada membuat keputusan sebulat suara ke mana hala tuju mereka.
“Putra tidak gopoh dalam membuat keputusan meninggalkan jemaah kerana Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) masih lama lagi walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan diadakan tidak lama lagi.
“Kita akan terus fokus pada PRU16 dan PRN ini yang akan dijadikan medan latihan dan laluinya setakat daya dan upaya yang ada. Sama ada kita akan bertanding atau tidak, masa akan menentukannya,” kata beliau dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam, yang mengumumkan keputusan berundur daripada GTA bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti itu sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.
Mukhriz dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua semalam, berikutan kekalahan teruk parti pada PRU15.
“Sebenarnya pada 6 Disember tahun lalu pada mesyuarat Majlis Tertinggi GTA yang mana saya turut hadir sebagai timbalan pengerusi, saya dah maklumkan ketika itu bahawa Pejuang akan berundur.
“Walaupun begitu, saya ada sedikit ‘kaveat’ bahawa saya nak nanti dulu keputusan rasmi daripada Perhimpunan Agung yang telah kita selesaikan hari ini,” kata Mukhriz.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, Pejuang adalah pengasas dan penggerak awal GTA, manakala Putra dan beberapa parti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain menyertainya atas dasar jemputan.
Katanya, selepas GTA kalah teruk PRU15, semua pihak mengelabah, apatah lagi apabila Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan yang menyaksikan semuanya seperti cacing kepanasan dan ada yang ketakutan.
Namun, ujar beliau, Putra bersama barisan kepimpinan yang kekal di pusat, negeri mahupun bahagian adalah sekelompok insan yang masih ada jati diri, cekal dan terus istiqomah dengan perjuangan walau dalam apa jua keadaan.
“Perjuangan Putra hanya baharu menempuh usia hampir empat tahun termasuk dalam edah SOP pandemik Covid-19 selama dua tahun, menyebabkan masa untuk parti ini aktif hanya dua tahun sahaja.
“Tetapi, terbukti yang tetap kekal bersama adalah yang telah teruji ketahanan jati diri perjuangan di lubuk hati dan rohnya, bukan pada retorik di bibir mulut. Syabas kepada mereka yang cekal ini.
“Sebab itu Putra tetap kekal bersama saki baki jemaah pimpinan GTA dan tidak akan keluar tinggalkan jemaah secara bersendirian demi mencari perlindungan diri atau apa jua kepentingan kerana ianya merupakan dusta besar kepada rakyat yang sedang memerhati langkah tindak tanduk perjuangan kita,” ujarnya.
Tambah beliau, Putra tetap cekal menempuh badai dan tidak akan tergulung sebagai manusia yang cakap lain buat lain.
Putra, kata Ibrahim, ada maruah dan perasaan malu kepada sesama jemaah, apatah lagi dengan rakyat umum, terutama umat Melayu Islam.
Beliau yang menyentuh kekalahan semua calon Putra dan GTA pada PRU15 November lalu berkata, ia berpunca daripada isu duit yang terlalu banyak digunakan oleh parti-parti tertentu.
“Sungguh luar biasa duit ditaburkan dan tidak pernah saya lihat sepanjang PRU diadakan, walaupun pengundi satu-satu kawasan Parlimen mencecah lebih 100,000, semuanya dapat habuan terutama anak muda dari pusat pengajian tinggi.
“Inilah sebab pemimpin bernama besar seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pun kalah. Jadi biarkan, PRU15 menjadi hari mendung dalam sejarah, tapi ada kala cuacanya akan cerah juga. – MalaysiaGazette