KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe masih menilai keperluan pasukan untuk menggunakan sepenuhnya kuota sembilan pemain import atau sebaliknya pada musim ini.
Setakat ini, Selangor mengekalkan Yazan Al-Arab, Hein Tet Aung, Richmond Ankrah, Alex Agyarkwa dan pemain import baharu, Noor Al-Rawabdeh dari Jordan.
Bekas pengendali Harimau Malaya ini tidak menolak kelebihan untuk mendapatkan sembilan pemain import pada musim ini namun, beliau tidak melupakan kudrat pemain tempatan yang tetap akan diperlukan untuk memberi saingan.
Justeru, sama ada sembilan import atau sebaliknya tidak akan menidakkan kemampuan pemain tempatan yang sedia memberi tentangan pada musim ini.
“Sama ada nak menggunakan kuota sembilan pemain import atau tidak sudah tentulah kita kena tengok kepada bajet dan keperluan pasukan juga.
“Kena tengok pada setiap posisi itu adakah diperlukan dan pastinya kalau ada peluang, memang kita mahukan sembilan pemain import.
“Tetapi sebagai jurulatih, sudah tentu saya juga akan fikirkan pemain tempatan yang saya percaya mereka tetap boleh memberi saingan kepada pasukan”, jelasnya.
Selain itu, sasaran awal Cheng Hoe adalah untuk memastikan pasukan mampu meraih satu slot ke Piala AFC selain percaya Selangor akan melakukan persiapan lebih rapi pada musim ini.
Apatah lagi, beliau sedar ia akan menjadi cabaran berbeza untuknya dan barisan kejurulatihan lain terutamanya selepas berjaya membawa pasukan ke pentas final Piala Malaysia musim lalu.
“Memang satu cabaran dan juga tekanan pasti lebih besar untuk pasukan sebab kita tahu penyokong yang meletakkan jangkaan tinggi untuk pastikan pasukan berada di tahap terbaik.
“Sasaran kita adalah untuk mendapatkan satu slot ke Piala AFC, cuma masih terlalu awal untuk kita menilai pasukan ini sebab baru sahaja mula latihan pra musim.
“Kita juga belum ada skuad sepenuhnya lagi jadi kita perlu bersabar dan bekerja lebih keras untuk cuba raih sasaran itu”, tambahnya. – MalaysiaGazette