Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – FGV Holdings Bhd (FGV) mengunjurkan peningkatan 10 peratus pengeluaran buah tandan segar (BTS) kepada 14.5 juta pada tahun ini menerusi kemasukan hampir 10,000 pekerja asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, kekurangan BTS dengan hanya merekodkan 13.1 juta tan pada tahun lalu berpunca akibat kekurangan tenaga kerja.

“Tahun ini kami jangka akan peroleh hampir 10,000 tambahan pekerja asing dengan 5,000 daripada jumlah itu akan tiba pada Februari ini. Kemasukan pekerja asing ini akan bantu melonjakkan kepada 100 peratus kapasiti berbanding ketika ini hanya 83 peratus sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena lawatan media ke salah satu anak syarikat FGV iaitu Delima Oil Products Sdn Bhd di sini, baru-baru ini.

Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor

Jelasnya, sasaran FGV pada tahun ini juga adalah untuk meningkatkan kadar perahan minyak (OER) kepada 21 peratus iaitu tambahan 0.7 peratus berbanding tahun lalu.

Nazrul turut berharap larangan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) terhadap produk minyak sawit FGV dapat ditarik balik menjelang akhir 2023.

Menurutnya, mereka menyasarkan permohonan yang akan diserahkan pada suku pertama tahun ini iaitu selewat-lewatnya pada 31 Mac dapat dipertimbangkan agar pihak CBP AS menarik semula petisyen berkenaan.

Pada 30 September 2022, AS telah mengharamkan pengimportan minyak sawit FGV dengan mendakwa ia menggunakan buruh paksaan dalam proses pengeluarannya.

Menerusi kenyataan CBP AS, ia mendedahkan terdapat indikator buruh paksaan termasuk ancaman kepada bahaya, penipuan, keganasan fizikal, keganasan seksual, intimidasi dan penahanan dokumen identiti.

FGV yang merupakan pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia dihimpit dakwaan tersebut daripada organisasi bukan kerajaan antarabangsa bahawa pekerja asing di ladangnya dilayan dengan kasar. – MalaysiaGazette