Dua lelaki termasuk warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dakwaan memberi suapan berjumlah RM90,000 kepada seorang inspektor polis pada Oktober lalu.

JOHOR BAHRU – Dua lelaki termasuk warga Singapura didakwa memberi suapan berjumlah RM90,000 kepada inspektor polis di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Lau Wen Xiang, 32, dan Donavan Sia Qi Xan, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wen Xiang dan Qi Xun didakwa melakukan kesalahan itu kepada inspektor polis yang bertugas sebagai pegawai risikan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah restoran di Taman Suria Johor Bahru pukul 5.45 petang pada 17 Oktober lalu.

Mereka didakwa melakukan sogokan agar pegawai berkenaan tidak mengambil tindakan ke atas Qi Xun yang merupakan warga Singapura kerana dipercayai melakukan kesalahan penipuan.

Wen Xiang dan Qi Xun turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan dengan melibatkan jenayah sama mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Chan Choon Yew manakala Law Web Xiang diwakili peguam, K.Veeranesh Babu dan Donavon Sia Qi Xub diwakili peguam, Mohamad Isa Mohamad Bashir.

Mahkamah menetapkan jaminan RM40,00 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Selain ditetapkan syarat tambahan kedua-dua tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor sekali setiap bulan.

Hakim menetapkan 19 Februari depan bagi sebutan semula kes dan penyerahan dokumen pengurusan. – MalaysiaGazette