BEIJING – Jumlah penduduk China turun buat kali pertama pada 2022 dalam dalam beberapa dekad, yang dijangka membawa kesan jangka panjang kepada ekonomi domestik dan global.

Penduduk China pada 2022 adalah sebanyak 1.4118 bilion, susut sebanyak 850,000 daripada 2021.

Biro Perangkaan Kebangsaan berkata, jumlah penduduk menurun sebanyak 850,000 pada 2022 kepada 1.41175 bilion.

Ia merupakan penurunan kali pertama pertama dalam tempoh 60 tahun.

“Ini adalah titik perubahan yang benar-benar bersejarah, permulaan penurunan populasi jangka panjang dan tidak dapat dipulihkan,” kata Wang Feng, Pakar Perubahan Demografi China di University of California, Irvine.

Penurunan secara rasmi bermula tahun lepas, apabila kematian mengatasi kelahiran, tetapi beberapa ahli demografi berpendapat trend itu mungkin telah bermula sebelum itu.

Dasar ketat sifar-Covid China dalam menangani jangkitan koronavirus dilihat secara meluas telah mempercepatkan penurunan kadar kelahiran negara itu, apabila pasangan menangguhkan atau memutuskan untuk tidak mempunyai anak semasa krisis kesihatan dan kelembapan ekonomi.

Tahun lepas, 9.56 juta bayi dilahirkan, turun daripada 10.62 juta tahun sebelumnya.

Kadar kelahiran pada 2022 adalah yang paling rendah sejak rekod bermula lebih tujuh dekad lalu, iaitu 6.77 kelahiran bagi setiap 1,000 orang, turun daripada 10.41 pada 2019.

Bilangan wanita usia mengandung antara 15 dan 49, turut jatuh lebih 4 juta pada tahun 2022.

Penurunan ini berpunca daripada dasar satu anak Beijing yang dikenakan pada tahun 1980, yang mengehadkan bilangan anak boleh dimiliki pasangan kepada di bawah purata 2.1 yang diperlukan untuk penduduk negara kekal stabil.

Pihak berkuasa membatalkan dasar itu pada 2016, menggantikannya dengan had dua anak, dan bilangan kelahiran telah menurun setiap tahun sejak itu.

Kadar kematian negara ialah 7.37 bagi setiap 1,000 orang pada 2022, tertinggi sejak 1970 dan meningkat daripada 7.09 pada 2019.

Fuxian Yi, seorang ahli demografi di Universiti Wisconsin-Madison, menganggarkan populasi China mula menurun pada 2018.

“China sedang menghadapi krisis demografi yang jauh melebihi imaginasi pihak berkuasa China dan masyarakat antarabangsa,” kata Yi, sambil menyatakan trend itu akan bertindak mempengaruhi jangka panjang pasaran hartanah negara, yang menjadi enjin pertumbuhan yang penting.

“China tidak boleh bergantung pada dividen demografi sebagai pemacu struktur untuk pertumbuhan ekonomi.

“Pertumbuhan ekonomi perlu lebih bergantung kepada pertumbuhan produktiviti, yang didorong oleh dasar kerajaan,” ujar Presiden dan Ketua Ekonomi di Pinpoint Asset Management. – Agensi