Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Polis merampas barangan makanan sejuk beku yang dianggar bernilai lebih RM33.68 juta di gudang penyimpanan sekitar Kota Kinabalu dan Papar dalam serbuan menerusi Op Kontrabandari 4 hingga 16 Jan lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, antara barangan makanan sejuk beku yang dipercayai diseludup masuk ke Sabah dan tidak mempunyai logo halal yang dirampas itu adalah ayam, beberapa bahagian ayam, nugget, sosej serta ikan.

Beliau berkata, polis turut menahan 33 lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berumur antara 19 hingga 51 tahun dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dan penjualan barangan makanan sejuk beku di Sabah.

“Operasi dijalankan apabila terdapat maklumat mengenai kegiatan penyeludupan barangan sejuk beku yang tidak dibayar cukai dan gagal mempamerkan logo halal pada barangan berkenaan,”  katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Katanya polis juga telah mengenal pasti sembilan sindiket terlibat dalam kegiatan mengimport ayam sejuk beku tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah dan dipercayai telah aktif sejak 10 tahun lalu.

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Wildlife Crime Bureau, Perisikan dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, JSJ IPD Papar, JKDM Sabah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, katanya. – BERNAMA