Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof menyempurnakan gimik pelancaran selepas menyampaikan Amanat Membangun Malaysia Madani : Visi dan Kerangka Dasar Reformasi pada Majlis Pelancaran Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan slogan baharu Malaysia Madani dalam usaha membina martabat negara semula yang makmur dan dikenali pada masa depan.

Beliau berkata, istilah Madani merujuk kepada tatakelola yang adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam bermula di Madinah.

Menurut beliau, konsep itu dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW dan didukung oleh warganya yang berbilang kaum dan agama masyarakat dalam mengacu pada dasar-dasar manfaat buat warganya yang disebut al-khayr.

“Pemenang Nobel Amartya Sen juga pernah menyatakan bahawa walaupun demokrasi belum diamalkan secara universal, dan tidak juga diterima secara seragam, dalam iklim umum pendapat dunia, tadbir urus demokrasi kini telah mencapai status dianggap betul secara umum.

“Frasa utama di sini tentulah tadbir urus demokrasi iaitu tadbir urus demokrasi,” katanya ketika menyampaikan amanat bertemakan ‘Membangun Malaysia Madani’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir, dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Amanat Membangun Malaysia Madani : Visi dan Kerangka Dasar Reformasi pada Majlis Pelancaran Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2023.

Selain Amanat Perdana Menteri itu, turut diadakan Wacana Membangun Negara Madani melibatkan panel jemputan seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi Eksekutif IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman; Presiden Kolej Dar al-Hikmah, Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) di Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Haslinda Abdullah.

Mengulas lanjut, Anwar yakin tema Membangun Negara Madani akan kekal relevan dan mampu menyelamatkan negara sebagai usaha dan upaya untuk mencipta lonjakan baharu buat negara.

Kata beliau, konsep Madani menggambarkan kepercayaan yang dicerna antara kerajaan dan rakyatnya berdasarkan pada asas ketelusan dan kerjasama.

“Konsep Madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan dirangkul peradaban yang dicitakan.

Ia ditakrifkan dengan sebuah konsep mapan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati, punyai keyakinan dan bersifat Ihsan, ujar beliau.

Menurut Anwar, dalam dunia yang serba tidak menentu, ditandai dengan kerumitan percanggahan, kekacauan dan keserentakan, suatu kerangka strategik yang komprehensif harus dibangunkan untuk mengemudi negara menempuh zaman yang ditakrifkan sebagai pascanormal,” katanya.

Malaysia Madani akan menggantikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof beramah mesra dengan kanak-kanak berpakaian tradisional selepas menyampaikan Amanat Membangun Malaysia Madani : Visi dan Kerangka Dasar Reformasi pada Majlis Pelancaran Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2023.

Sementara itu, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Membangun Malaysia Madani terdiri daripada enam tonggak dasar iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).

Ia berpaksikan latar pengalamannya dalam keprihatinan dan perjuangan rakyat bermula daripada gerakan pelajar, aktivis sosial, ahli politik, pemimpin kerajaan sehinggalah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Agenda dasar kerangka Madani bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan negara, tetapi turut menyentuh pencorakan masa hadapan serta memenuhi potensi rakyat serta negara.

“Madani disasarkan untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka bagi memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. labelkan BEBERAPA SLOGAN…wawasan 2020 kepimpinan melalui teladan Islam Hadhari Satu Malaysia Keluarga Malaysia Prihatin Bersih cekap amanah…..jika TIDAK BERPAKSIKAN ISLAM YANG SYUMUL dan MARTABATKAN SYARIAT….semuanya akan jadi wayang tpoeng dan bayang2 SYOK SENDIRI

Comments are closed.