Datuk Dr Mashitah Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, fahaman segelintir pihak yang menganggap poligami adalah sunnah dalam Islam kurang tepat.

Beliau menjelaskan, poligami  dibenarkan dengan syarat tidak berlaku sebarang penganiayaan kepada pihak terlibat.

Tambah beliau, poligami itu sudah lama diperkenalkan kepada masyarakat sebelum datangnya Islam dengan memperkenalkan undang-undang bagi mengawal penganiayaan yang berlaku dalam komuniti.

“Islam tak pernah memperkenalkan poligami dan Islam tak suruh pun poligami. Sewaktu Islam datang, poligami itu sudah pun menjadi budaya kepada masyarakat ketika itu.

“Jadi, bila Islam datang, apa yang Islam buat? Islam mengawal poligami ini melalui undang-undang dan membetulkan poligami ini serta membataskan.

“Jangan kita sebut kata, asalkan Islam sahaja, orang fikir sunnahnya adalah poligami. Tak! Masa Islam datang, poligami sudah pun ada.

“Islam datang dan betulkan. Bagaimana? Kalau nak kahwin, jangan ada penganiayaan,” katanya yang menggelarkan diri sebagai Mak Teh dalam satu rakaman video di media sosialnya.

Tambah Mashitah, tuntutan dalam Islam juga meletakkan batasan di mana kaum lelaki tidak boleh berkahwin lebih daripada empat.

“Islam bataskan tak boleh kahwin lebih daripada empat. Islam juga mengawal melalui undang-undang supaya tidak ada penganiayaan.

“Sebab itu kita tengok bila ayat yang bercakap tentang poligami ini, dia bercakap dulu tentang anak-anak yatim supaya tidak ada penzaliman,” katanya.

Sementara itu, wanita kelahiran Kedah itu turut mengingatkan golongan lelaki untuk tidak menganggap poligami sebagai hak mutlak bagi mengatasi sesuatu masalah.

“Islam datang dan mengambil poligami ini sebagai kelonggaran dalam sebuah perkahwinan yang memerlukan poligami ini.

“Kita anggaplah poligami ini macam satu ubat bagi keluarga yang ada masalah. Jadi keluarga yang tidak ada masalah ini, makan ubat buat apa? Kalau kita masih sihat tapi makan ubat, itu namanya cari penyakit,” kiasnya.

Mashitah juga merupakan bekas ahli Parlimen Baling, Kedah dan sebelum menceburkan diri di dalam politik merupakan bekas pensyarah kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak. – MalaysiaGazette