Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP mengalu-alukan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, semalam.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, keputusan BNM itu dianggap sebagai ‘ang pow’ kecil Tahun Baharu Cina untuk peminjam bank.

Menurutnya, penangguhan itu amat diperlukan selepas bank pusat melaksanakan beberapa siri kenaikan OPR tahun lalu sebanyak satu peratus berikutan kegagalan kerajaan sebelum ini mengawal inflasi dan kejatuhan mendadak nilai ringgit.

“Dengan menghentikan kenaikan kadar faedah, kerajaan akan mempunyai peluang untuk menangani pertumbuhan yang lebih perlahan akibat kemelesetan Amerika Syarikat (AS).

“Mengekang kos pinjaman akan membantu mengurangkan tekanan kos ke atas peminjam individu dan bank serta meningkatkan perbelanjaan penggunaan yang lebih tinggi.

“Pemberhentian kenaikan kadar faedah adalah ‘ang pow’ kecil Tahun Baharu Cina kepada peminjam. Diharapkan ia membolehkan Kerajaan Perpaduan memberikan tumpuan penuh untuk mengurangkan kos perniagaan di samping menjana lebih banyak peluang perniagaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Guan Eng berkata, keputusan BNM itu juga merupakan sesuatu yang amat diperlukan daripada kenaikan kadar faedah untuk menangani jangkaan kemelesetan ekonomi di AS.

“Seterusnya, pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 24 November juga mengukuhkan keyakinan pelabur dan pasaran, terbukti dengan peningkatan ketara nilai ringgit berbanding dolar AS daripada RM4.75 di bawah kerajaan terdahulu kepada RM 4.32 hari ini,” katanya.

Bekas Menteri Kewangan itu turut memberitahu, sebab utama kenaikan kadar faedah adalah berpunca daripada keperluan BNM untuk membendung inflasi dan juga mengekang penurunan nilai ringgit yang mendadak, yang jatuh ke paras terendah berbanding dolar Singapura dan dolar AS di bawah kerajaan terdahulu.

“Jelas sekali, kebimbangan terhadap inflasi dan kejatuhan nilai ringgit yang semakin meruncing sudah surut di bawah Kerajaan Perpaduan yang dilihat sebagai pertaruhan yang lebih selamat untuk pelabur,” tambahnya. – MalaysiaGazette