Guru perempuan sekolah menengah agama yang hadir Majlis Liqa' Murabbi Guru-Guru Sekolah YIK peringkat Parlimen Rantau Panjang.

PERANAN guru bukan setakat mengajar, tetapi turut dijadikan ikutan atau contoh kepada pelajar ke arah yang terbaik dan cemerlang.

Pengarah Yayasan Amanah Tok Kenali Kelantan (YTK) di Pasir Mas, Zulkarnain Hassan berkata, sebagai pentarbiah, guru digalakkan mendidik pelajar dengan akhlak terbaik berteraskan ajaran Islam.

“Sebagai guru, semua boleh mengajar, tetapi kita harus ingat, guru juga akan dijadikan contoh oleh pelajar untuk ke arah mana mereka selepas alam persekolahan nanti.

“Besar harapan saya guru-guru YIK boleh menjadikan diri masing-masing sebagai role model bukan sahaja kepada pelajar, tetapi ibu bapa dan masyarakat setempat.

Guru lelaki yang hadir Majlis Liqa’ Murabbi Guru-Guru Sekolah YIK peringkat Parlimen Rantau Panjang.

“Oleh itu, ilmu yang kita ajar ini bukan setakat dalam kawasan sekolah, tetapi kepada masyarakat luar dengan mengambil tahu hal ehwal mereka agar sama-sama dapat memanfaatkan ilmu daripada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Liqa’ Murabbi Guru-Guru Sekolah YIK peringkat Parlimen Rantau Panjang di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MMRP, Datuk Paduka Mohamad Awang.

Menurut Zulkarnain, pihaknya memberi penekanan itu supaya YIK melahirkan pelajar yang cemerlang, bukan sahaja dalam pelajaran, tetapi akhlak dan sikap keperibadian mereka.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Bahagian Sekolah) Yayasan Islam Kelantan (YIK), Che Kamaruddin Kamil menyarankan guru sentiasa terus berusaha dari awal hingga sampai pada musim peperiksaan.

Katanya, tidak lama lagi pelajar akan menduduki peperiksaan penting iaitu Sijil Menengah Agama (SMU), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Didiklah mereka seperti anak sendiri, insya-Allah kita akan berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.

Dalam ucapannya juga, beliau memaklumkan, YIK memperuntukan kira-kira RM300,000 untuk membantu 18 sekolah agama yang mengalami kerosakan akibat banjir baru-baru ini. – MalaysiaGazette

Penulis, Abd. Ghafar (dua dari kiri) bersama Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Ramli Abdul Latiff (kiri).

Penulis Abd. Ghaffar Daud merupakan Pembantu Operasi Maahad Muhammadi Rantau Panjang.