Asisten Komisioner Cha Hoong Fong

KUALA LUMPUR – Seorang warga asing yang juga pekerja kedai makan ditemui mati dalam bilik hostel penginapannya di Pandamaran, Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pada 21 Januari lalu, pihaknya menerima satu aduan daripada seorang lelaki warga tempatan mengenai kejadian itu.

Katanya, pengadu seorang pengurus kedai makan mendakwa pada hari yang sama dia mendapati pekerjanya itu tidak sedarkan diri di Hostel Lebuh Pendamar Indah 1, Taman Pendamar Indah.

“Bertindak atas maklumat itu, pihak ambulan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang telah bergegas ke tempat kejadian dan melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik HTAR Klang untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hoong Fong, hasil pemeriksaan, pegawai perubatan telah mengesahkan punca kematian pekerja asing itu adalah disebabkan oleh penyakit Tuberculosis (Tibi).

Katanya, siasatan juga mendapati mangsa juga pernah mendapat rawatan di Klinik Utara Kota Pendamar sebelum ini dan telah disahkan positif penyakit yang sama.

“Mangsa berumur 45 tahun telah bekerja di sebuah kedai makan lebih kurang dua tahun. Pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah.

“Polis telah mengklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut iaitu no further action (NFA). Polis pada masa yang sama ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi negatif yang boleh mengugat ketenteraman awam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast