Mohd Yusri Hassan Basri.

IPOH – Seorang anggota polis berpangkat sarjan mejar parah selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah apartment di Lumut, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 5.45 pagi.

Katanya, siasatan mendapati anggota lelaki berusia 38 tahun itu bertugas di Pahang dan sedang dalam tempoh bercuti.

“Anggota itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan di rumah keluarganya di Ayer Tawar, di sini, semalam.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan dan keadaannya kini kritikal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, siasatan sedang dijalankan termasuk mengenal pasti motif kejadian tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor N. Ravinthran di talian 019 650 8489 untuk membantu siasatan.

“Kita juga menasihatkan orang agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan maklumat tidak sah berhubung kejadian ini,” jelas Mohd Yusri. – MalaysiaGazette