Foto Instagram Michelle Yeoh.

KUALA LUMPUR – Dua minggu selepas memenangi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Golden Globe, Tan Sri Michelle Yeoh terus melakar sejarah tercalon dalam kategori sama untuk Oscar ke-95.

Anak seni kelahiran Malaysia itu menjadi pelakon wanita Asia pertama mendapat pengiktirafan untuk dicalonkan dalam kategori utama anugerah berprestij tersebut, lapor Berita Harian Online.

Yeoh, 61, dicalonkan untuk watak Evelyn Quan dalam filem Everything Everywhere All at Once, yang diumumkan di California, Amerika Syarikat secara dalam talian, malam tadi.

Calon lain yang bersaing ialah Cate Blanchett bagi filem Tar, Andrea Riseborough (To Leslie), Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana De Armas (Blonde).

Filem Everything Everywhere All at Once arahan Dan Kwan dan Daniel Scheinert turut menerima beberapa pencalonan pada anugerah Oscar termasuk Filem Terbaik.

Pada 11 Januari, Yeoh yang berasal dari Ipoh meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe atas lakonan dalam filem sama.

Anugerah Oscar dijadual berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles pada 12 Mac depan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here