KOTA KINABALU – Seorang lelaki hilang manakala dua yang lain terselamat selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Karambunai di sini pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan memberitahu pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.07 pagi sebelum enam anggota dan pegawai bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dikerah ke lokasi kejadian.
“Tiga mangsa (kesemuanya lelaki) yang belum dikenal pasti identitinya terlibat dalam kejadian itu, namun dua daripadanya berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi hilang bersama bot,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian dan sebarang maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.- BERNAMA