Nazri Ahmad bersama penduduk meninjau keadaan Sungai Tepesuk dan mendapati air sungai berkelodak dengan lumpur.

ROMPIN – Sungai Tepesuk dikatakan mula tercemar akibat perlombongan bijih besi di Bukit Pesagi di sini sejak semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Nazri Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk yang memaklumkan air Sungai Tepesuk dipenuhi keladak lumpur sehingga memberi kesan kepada penduduk.

Menurutnya, ada dakwaan pembuangan sisa perlombongan seperti keladak lumpur dan bahan kimia mengalir terus ke sungai itu.

Jelas beliau, perbuatan tidak bertanggungjawab itu sekali gus mengakibatkan hidupan di sungai terancam.

“Pencemaran sungai yang berlaku telah memberi kesan besar kepada sebahagian aktiviti harian penduduk yang menjadikan sungai ini sebagai sumber rezeki.

“Malah air dari sungai turun dan mengalir ke beberapa batang sungai termasuk di Kampung Aur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Justeru Nazri berkata, tindakan segera perlu diambil oleh pihak berwajib bagi mengelakkan keindahan alam semula jadi tercemar.

Terdahulu seorang pengguna Facebook, Boy Rtg memuat naik hantaran dan beberapa keping gambar mengenai pencemaran sungai terbabit.

Susulan itu, Nazri melihat sendiri keadaan di situ kemudian memuat naik video tinjauan yang berdurasi 1.52 saat itu di media sosialnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast