Donald Trump. foto Anadolu Agency

NEW YORK – Donald Trump akan dibenarkan kembali melayari Facebook dan Instagram, selepas Meta mengumumkan ia akan menamatkan penggantungan akaun bekas Presiden Amerika Syarikat itu selama dua tahun.

Penggantungan tersebut akan berakhir “dalam beberapa minggu akan datang”, kata firma gergasi media sosial itu.

Dalam satu kenyataan, Presiden Hal Ehwal Hlobal Meta, Nick Clegg berkata, orang ramai “sepatutnya dapat mendengar apa yang dikatakan ahli politik mereka”.

Trump telah digantung selama-lamanya daripada Facebook dan Instagram selepas rusuhan Capitol pada 2021.

Firma itu telah mengambil tindakan tersebut selepas Trump memberi pujian kepada kumpulan yang terlibat dalam keganasan di Capitol”, kata Clegg.

“Penggantungan itu adalah keputusan luar biasa yang diambil dalam keadaan luar biasa,” tambahnya.

Beliau berkata, semakan mendapati akaun Trump tidak lagi mewakili risiko serius kepada keselamatan awam.

Tetapi kerana “pelanggaran” masa lalu Trump dia kini akan menghadapi hukuman yang lebih tinggi untuk kesalahan berulang.

Pihak Republikan telah mendesak agar Trump dibenarkan melayari Facebook ketika beliau bersiap sedia untuk bertanding jawatan presiden sekali lagi tahun depan.

Trump melalui media sosialnya, Truth Social, berkata, Facebook telah “kehilangan berbilion-bilion” selepas mengharamkan “Presiden kegemaran anda, iaitu saya”.

“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku lagi kepada presiden yang sedang duduk, atau sesiapa sahaja yang tidak layak menerima hukuman!” tulis Trump.

Trump kini mempunyai keputusan untuk dibuat kerana Truth Social, platform media sosial yang diwujudkan olehnya pada 2021, mempunyai pengguna yang jauh lebih sedikit daripada Facebook

Facebook mempunyai tiga bilion pengguna.

Truth Social mungkin mempunyai sebanyak lima juta akaun – walaupun kemungkinan besar ia mempunyai lebih sedikit pengguna aktif.

Walau bagaimanapun, Trump mempunyai perjanjian eksklusif dengan Truth Social – ini bermakna beliau dikehendaki secara sah untuk menyiarkan terlebih dahulu di platform tersebut – enam jam sebelum dikongsikan di mana-mana platform lain.

Ini bermakna jika dia menyiarkan di Facebook atau Twitter – ada kemungkinan dia boleh disaman. – Agensi