Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Seorang guru kerugian RM233,480 duit pencen arwah suaminynya selepas diperdaya sindiket Macau Scam menerusi panggilan telefon.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak syarikat penghantaran barangan pada 13 Januari lalu.

Menerusi perbualan tersebut, supsek kononnya mendakwa mangsa terlibat dengan aktiviti pengedaran barang-barang terlarang dan  penggubahan wang haram.

Mangsa kemudian  disambungkan kepada ‘pegawai polis’ dan dimaklumkan terlibat dengan jenayah.

“Tanpa berfikir panjang, mangsa telah mendedahkan maklumat perbankan miliknya kepada pihak berkenaan.

“Mangsa mula menyedari tindakannya itu setelah melakukan 16 transaksi ke akaun lain.

“Kesemua wang simpanan dalam akaun miliknya yang merupakan ganjaran wang pencen arwah suaminya hilang sekelip mata,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ramli menasihati orang ramai supaya jangan mendedahkan butir-butir perbankan kepada pihak ketiga ataupun di dalam sebarang aplikasi daripada pautan yang mencurigakan.

“Jangan takut atau cemas apabila dihubungi atau didakwa terlibat dengan apa-apa jenayah oleh panggilan telefon yang mendakwa sebagai pihak berkuasa.

“Pihak penguat kuasa tidak menjalankan apa-apa siasatan melalui panggilan telefon,” nasihatnya. – MalaysiaGazette