MELAKA – Seorang kakitangan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan memberi keterangan palsu dan bercanggah berkaitan kes rasuah melibatkan seorang pegawai polis minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Hadaffy Mokhtar Ruzaini, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi kenyataan yang tidak selaras ketika perbicaraan kes rasuah melibatkan seorang pegawai polis dengan keterangan yang diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.40 petang hingga 3.30 petang, 18 Januari lalu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh menyebabkannya didakwa mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 dan dihukum di bawah seksyen yang sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau didenda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan jaminan antara RM 3,000 hingga RM 5,000 mengambil kira kesalahan serius dilakukan tertuduh.
Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Elesabet kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin serta melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka.
Kes akan disebut semula 10 Februari ini. – MalaysiaGazette