PETALING JAYA – Persiapan semua pasukan bola sepak negara terutama skuad Harimau Malaya dalam menghadapi kejohanan musim ini, tidak akan terjejas biarpun terdapat beberapa perubahan penting dalam kalendar Liga Malaysia (Liga-M) 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, ini kerana Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, terlibat dalam kesemua perbincangan pembentukan kalendar saingan musim ini.
“Saya boleh katakan di sini sebanyak yang mungkin MFL telah buat untuk memastikan agenda skuad kebangsaan diutamakan. Kami rasa FAM juga gembira dan puas hati dengan apa yang telah diberikan oleh MFL.
“Kami pasti kerjasama antara FAM dan MFL dalam percaturan kalendar tahun ini akan diteruskan, untuk memastikan tiada perubahan tarikh (berlaku). Saya amat berterima kasih dengan penglibatan Datuk Hamidin dan Datuk Ab Ghani,” katanya pada sidang media taklimat kalendar Liga-M 2023 di Wisma FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) di Kelana Jaya di sini, hari ini.
Terdahulu, MFL mengumumkan kalendar Liga-M 2023 yang menyaksikan terdapat beberapa perubahan penting, dengan yang paling menarik perhatian ialah jadual Liga Super menjadi lebih panjang, apabila akan bermula 24 Februari sehingga 17 Disember melibatkan keseluruhan 182 perlawanan.
Biarpun saingan liga utama peringkat domestik itu menjadi lebih panjang, Stuart berkata kalendar musim ini sudah mengambil kira permohonan tambahan hari untuk latihan pusat pasukan negara, sekali gus memberi peluang untuk membuat persediaan dengan rapi.
Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon mempunyai lima jendela perlawanan antarabangsa FIFA sepanjang tahun 2023 iaitu pada Mac, Jun, September, Oktober dan November, sebelum akan menghadapi saingan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung pada Januari 2024 di Qatar. – Bernama