KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa kerajaan mengkaji semula prosedur operasi umrah, yang mana kosnya dikatakan naik secara mendadak.
Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, kerajaan perlu peka dan mengambil tindakan segera ke atas pihak yang cuba mengeksploitasi orang ramai dengan mengenakan harga tinggi.
Tegasnya, tindakan itu secara tidak langsung menganiaya umat Islam yang merancang hendak mengerjakan ibadah umrah.
“Putra amat kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab syarikat mengendalikan umrah mengenakan kos yang terlampau tinggi dan kenaikan ini dibuat tanpa kawalan kerajaan.
“Mengautkan keuntungan yang melampau juga menghina agama Islam dengan ada beberapa agensi umrah dikatakan membolot tiket penerbangan dan dikenakan harga mahal untuk ke tanah suci.
“Kita percaya pengurusan syarikat penerbangan tempatan tahu isu ini, tetapi tiada penyelesaian dilakukan. Kerajaan perlu tengok kalau-kalau ada sesuatu di belakang tabir yang berlaku,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham yang dilaporkan mendakwa, sesetengah agensi umrah di negara ini dikatakan membolot tiket penerbangan disediakan syarikat penerbangan tempatan untuk ke Tanah Suci.
Tindakan itu antara punca kenaikan mendadak kos mengerjakan umrah kebelakangan ini.
Kata Razali, mengikut harga semasa, tiket penerbangan umrah antara RM2,700 hingga RM2,800, tetapi dijual semula oleh agensi terbabit sekitar RM4,800 hingga RM5,000.
Ini satu-satunya punca kenaikan pakej umrah yang boleh kerajaan kawal, tetapi belum ada tindakan sewajarnya diambil untuk menyekat monopoli empat hingga lima syarikat umrah tempatan yang membolot tiket penerbangan dan menjualnya semula pada harga lebih tinggi.
Mengulas lanjut, Shahrulufti menyarankan kerajaan bersama agensi terlibat menetapkan harga tambang tetap berdasarkan harga ditentukan oleh syarikat penerbangan.
Ini katanya, bagi mencapai pasaran melebihi normal serta pulangan dan menang menang kepada semua pihak.
Bagaimanapun, pada masa sama, kerajaan perlu mengambil tindakan pantas menyiasat perbuatan monopoli tiket penerbangan itu kerana dikatakan sudah berlarutan begitu lama. – MalaysiaGazette