Skuad hoki lelaki negara menjalani latihan fasa terakhir sebelum menyertai Kejohanan Piala Dunia 2023 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 12 Disember 2022. Kejohanan Piala Dunia 2023 berlangsung mulai 13 hingga 29 Januari di Rourkela, India. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki kebangsaan mengakhiri kempen Piala Dunia 2023 di kedudukan ke-13 dengan menewaskan Jepun, 3-2, pada aksi klasifikasi tempat ke-13 hingga ke-16 di Stadium Birsa Munda di Rourkela, India.

Penyerang kelahiran Sabah Shello Silverius, muncul wira Speedy Tigers apabila dua jaringannya hari ini berjaya membantu Malaysia, memperbaiki pencapaian tempat ke-15 diraih pada edisi 2018, juga di India.

Pasukan bimbingan A. Arul Selvaraj bermula garang, apabila mendahului juara bertahan Sukan Asia itu seawal minit ketujuh menerusi jaringan pukulan sudut penalti Shello.

Malaysia seharusnya menyalahkan diri sendiri pada suku kedua perlawanan, apabila membuat kesilapan menggunakan 12 berbanding 11 pemain, sehingga menyaksikan ketua pasukan Muhammad Marhan Mohd Jalil terpaksa dikorbankan, selepas menerima layangan kad kuning pada minit ke-19, sekali gus mengakibatkan mereka ‘tempang’ dengan 10 pemain buat seketika di atas padang.

Kesempatan itu digunakan pasukan kendalian Akira Takahashi, untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang oleh Kaito Tanaka pada minit ke-23 dan giliran negara matahari terbit pula mendahului sebaik suku ketiga bersambung, hasil jaringan padang Seren Tanaka pada minit ke-31.

Bagaimanapun, kelebihan dimiliki lawan hanya bertahan seminit apabila Shello menyumbat jaringan kedua peribadinya, kali ini menerusi gol padang untuk mengikat kedudukan 2-2 dan pemain muda berusia 20 tahun, Shahmie Irfan Suhaimi kembali meletakkan Malaysia di hadapan dengan jaringan padang pada minit ke-33.

Suku terakhir perlawanan menyaksikan skuad negara hampir melebarkan jaringan menerusi pukulan kilas Ramadan Rosli, namun berjaya ditampan Yoshikawa pada minit ke-53 dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Malaysia memulakan saingan Kumpulan C dengan langkah kiri apabila tumpas 0-4 ke atas juara tiga kali, Belanda, sebelum bangkit menumpaskan Chile, 3-2 dan mengejutkan New Zealand juga 3-2, untuk mengakhiri saingan di tempat kedua kumpulan.

Skuad kebangsaan kemudian gagal meneruskan rentak kecemerlangan, apabila impian mereka untuk mara ke suku akhir disekat Sepanyol, dengan tewas 3-4 menerusi penentuan penalti shootout ‘sudden death’ selepas mengikat pasukan Eropah itu, 2-2, pada masa sebenar perlawanan dalam aksi ‘Crossover’, Ahad lepas.

Speedy Tigers terus dilanda malang apabila tunduk 3-6 di tangan Afrika Selatan pada aksi penentuan tempat kesembilan hingga ke-16, Khamis lalu. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast