Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (duduk tengah) bergambar bersama pegawai dan anggota polis sempena lawatan rasmi beliau di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak (IPK) hari ini. Turut sama Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri

KUCHING – Kerajaan Persekutuan bersetuju memberikan peruntukan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak (IPK) bagi menambah baik fasiliti balai-balai polis di negeri itu melalui dana Timbalan Perdana Menteri.

Tanpa menyatakan jumlah keseluruhan peruntukan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sebagai contoh, sembilan balai polis dan kuarters di sekitar Kuching memerlukan peruntukan kira-kira berjumlah RM500,000.

“Kita berharap dengan peruntukan di bawah Timbalan Perdana Menteri ini kita dapat menambah baik keadaan di IPK dan balai polis di negeri ini secepat mungkin dan saya akan salurkan secara terus kepada pihak polis.

“Saya diberi amanat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk melihat kepada infrastruktur Sabah dan Sarawak jadi saya membuat lawatan ke IPK ini untuk mendapatkan taklimat apa yang perlu kita laksanakan untuk menambah baik kemudahan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan rasmi ke IPK Sarawak hari ini.

Terdahulu, Fadillah menerima taklimat oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri yang berlangsung kira-kira satu jam.

Beliau memaklumkan dapatan daripada taklimat berkenaan akan dikongsikan di peringkat Persekutuan melibatkan Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri bagi mendapatkan perancangan terperinci dalam membangunkan kemudahan kepada anggota polis di Sabah dan Sarawak.

Fadillah berkata beberapa balai polis turut dikenal pasti dalam keadaan usang serta memerlukan peruntukan kerajaan Persekutuan ialah Balai Polis Matu Daro, Julau dan Song.

“Ini menjadi tanggungjawab kita (kerajaan) untuk menyediakan kemudahan asas, janganlah sehingga tiada kemudahan yang menyebabkan kita tidak berlaku adil kepada anggota polis. Inilah hasrat Perdana Menteri yang mahukan keadilan,” katanya.- BERNAMA