Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas Majlis Pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan memberikan ulasan berhubung keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi yang menggantung serta memecat beberapa pemimpinnya.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri itu hanya memberikan reaksi yang beliau akan menjawab mengenai perkara tersebut nanti.

“Tunggu saya akan jawab. Saya akan jawab dalam satu majlis nanti,” katanya ringkas kepada media selepas Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023 di Dataran Merdeka hari ini.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat hadir pada majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditanya media berhubung keputusan mesyuarat MKT UMNO apabila menyingkirkan dua nama besar dalam parti.

Mereka yang disingkirkan adalah bekas pengerusi perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid turut memutuskan tindakan penggantungan terhadap Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Fathul Bari Mat Jahya diberikan surat tunjuk sebab. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

KJ, Noh dipecat, Hishammuddin, Shahril, Fathul Bahri digantung 6 tahun

2 Komen

  1. Kepada ahli2 Umno yang masih belum dipecat tu, tingkatkan usaha dalaman untuk segera membawa keluar parti dari gabungan kerajaan minoriti sekarang. Itu harapan akar umbi yang masih berbaki.

    • Mana berani….takut hilang habuan jadi kerajaan…lepas ni gabung la dengan PKR bagi jadi satu parti dak pun dengan Amanah atau DAP

Comments are closed.