KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan menghentikan serta merta projek pembinaan bangunan di Jalan Raja Laut, yang dipercayai menjadi punca gangguan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang pada minggu lalu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, arahan itu dikeluarkan kepada Tetuan Persekutuan Seruan Islam (Jam’iyah) Selangor dan Wilayah Persekutuan membabitkan projek membina satu blok 44 tingkat Menara SOHO (326 unit) di Lot PT 163.
Menurut beliau, tindakan segera itu dibuat selepas mengadakan mesyuarat bersama wakil daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan beberapa jabatan dalaman DBKL.
“Arahan itu dibuat sebagai langkah keselamatan bagi memastikan pihak APAD dan agensi berkaitan dapat menjalankan siasatan, penelitian, seterusnya mengenalpasti punca gangguan yang berlaku baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Untuk rekod, projek tersebut kini hanya di peringkat awalan iaitu melibatkan kerja-kerja tanah di luar daripada kawasan zon 1 dan zon 2.
DBKL menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) akan melibatkan pihak APAD dan Prasarana bagi mendapatkan pandangan mereka khususnya apabila terdapat permohonan pembangunan yang terletak dalam atau berhampiran dengan zon keselamatan keretapi.
Perkhidmatan LRT laluan Ampang-Sri Petaling mengalami kelewatan minggu lalu disebabkan penjajaran landasan bengkok berhampiran stesen LRT Bandar Raya.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berkata, hasil pemerhatian awal mendapati kelewatan LRT itu berpunca daripada kerosakan struktur jejambat akibat daripada kerja pembinaan bersebelahan kawasan berkenaan.
Atas faktor keselamatan, pihak Rapid Rail membuat keputusan untuk menutup laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya sehingga kekukuhan dan keselamatan dapat dipastikan. – MalaysiaGazette