Tangkap layar menunjukkan tongkang membawa kontena dari Thailand hampir karam di perairan Kuala Muda susulan mengalami kebocoran.

GEORGE TOWN – Sebuah tongkang yang membawa kontena kargo dari Thailand hampir karam di perairan Kuala Muda iaitu sempadan perairan Pulau Pinang dan Kedah di sini hari ini.

Kejadian pukul 12.55 tengah hari itu dipercayai berlaku susulan tongkang tersebut dikatakan mengalami kebocoran.

Bagaimanapun, tongkang berkenaan dan kesemua lapan anak kapal dilaporkan berada dalam keadaan baik selepas diselamatkan bot tunda.

Difahamkan, bot tunda dihantar ke lokasi selepas pihak berkaitan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian.

Tongkang Namthong 27 dari Kantang, Thailand itu kini telah selamat ditunda ke Pelabuhan Pulau Pinang.

Sementara itu, jurucakap Agensi Maritim Malaysia ketika dihubungi berkata, satu kenyataan media berhubung kejadian akan diberi pihak berkenaan pada esok.

Terdahulu, tular satu video di media sosial menunjukkan tongkang yang membawa puluhan kontena hampir karam dan video itu dirakam nelayan yang kebetulan melalui laluan sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast