Nik Saiful Adli Burhan

KOTA BHARU – Sekretariat Peguam Muda, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menawarkan khidmat guaman percuma kepada sekumpulan pelajar tahfiz yang dikatakan terlibat dalam insiden kematian seorang pesakit mental di Masjid Pulau Melaka, dekat sini, semalam.

Pada masa sama, Pengerusinnya, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan melahirkan rasa dukacita atas insiden yang menimpa mangsa, yang tidak faham dan sedar perbuatan apabila melakukan keganasan terhadap orang awam ketika kejadian dan sebelum itu lagi.

Namun, katanya, beliau percaya tindakan sekumpulan pelajar tahfiz berkenaan yang cuba meredakan keadaan dan mempertahankan seorang wanita yang ditendang mangsa adalah sesuatu di luar jangkaan mereka.

“Kami percaya ianya didorong oleh ketakutan dan ancaman terhadap keselamatan orang awam semata-mata tanpa ada niat jahat oleh kumpulan pelajar ini.

“Kami juga berharap polis menjalankan siasatan sewajarnya dan pada masa sama untuk tidak melayan pelajar ini seperti penjenayah yang lain. Mereka bukanlah orang jahat, tetapi semata-mata berada di tempat dan waktu yang salah,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Gazette hari ini.

Semalam, seorang lelaki yang mempunyai masalah mental maut dipercayai dipukul sekumpulan lelaki di Masjid Tok Guru Pulau Melaka.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa berusia 20-an itu dikatakan mengamuk di masjid berkenaan sebelum menendang seorang wanita berusia 50-an yang melalui pekarangan masjid itu.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Azam berkata, dia pada awalnya melihat mangsa mengamuk di sekitar surau Pasar Kota Jembal, ketika waktu Zuhur sebelum datang ke masjid berkenaan.

Katanya, mangsa sempat menunai solat Asar bersendirian sebelum keluar dan secara tiba-tiba menendang serta menyepak wanita yang juga tukang masak sebuah sekolah tahfiz berdekatan ketika melalui pekarangan masjid itu.

Melihat kejadian itu, sekumpulan pelajar tahfiz membantu wanita itu sehingga berlaku pergelutan menyebabkan mangsa dipukul sebelum didapati tidak sedarkan diri.

Nik Saiful Adli yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, tawaran itu adalah untuk menjaga hak dan juga memastikan keadilan dicapai oleh semua pihak.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia terutama pengguna media sosial tidak menjadikan kejadian itu sebagai isu besar yang akhirnya boleh menjadi fitnah kepada agama.

“Islam adalah agama yang menjaga ketenteraman awam dan menyeru umatnya ke kepada kestabilan dan keamanan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast