Rosli Abdul Jabr (duduk dua dari kiri) ketika sidang media di Pejabat Perikatan Nasional (PN) Pahang di Kuantan.

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang menggesa kerajaan negeri supaya tidak takut dengan ugutan pihak tertentu berhubung pencerobohan tanah yang dijadikan kebun durian Musang King di Raub.

Timbalan Pengerusi PN Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata kerajaan negeri perlu tegas terhadap isu pencerobohan tanah kerana ia mencabuli kedaulatan negeri.

“Penceroboh perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya seperti mana yang dikenakan kepada pihak lain yang melakukan kesalahan sama.

“Penyelesaian yang adil hendaklah diusahakan oleh kerajaan negeri dalam menangani semua isu pencerobohan tanah mengikut lunas dan batas undang-undang.

“Isu ini akan menjadi antara isu yang akan dibangkitkan PN dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung Mac depan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambah Rosli, PN Pahang mengikuti perkembangan isu pencerobohan tanah kerajaan oleh pekebun Musang King di Raub yang mana Ahli Parlimennya, Chow Yu Hui secara terbuka menuntut supaya Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melihat semula terma pajakan tanah ladang-ladang durian yang telah dianugerahkan kepada anak syarikat kerajaan negeri.

Katanya, pertemuan antara Menteri Besar Pahang dan pekebun-pekebun durian terbabit akan diadakan pada masa terdekat telah dibangkitkan semula selepas pembentukkan Majlis Penasihat Kerajaan Campuran Pahang yang mana ia menunjukkan terdapat usaha pihak tertentu untuk meraih kepentingan dalam kerajaan negeri.

“Kita menggesa supaya kerajaan negeri tidak tunduk kepada desakan tersebut berikutan Mahkamah Tinggi Kuantan telah pun menolak permohonan 204 pekebun untuk menetepikan notis pengosongan tanah oleh pihak pentadbir tanah negeri, tiga tahun lalu.

“Terdapat 4,400 hektar tanah yang diusahakan sebagai ladang durian di Raub adalah berstatus haram dan diusahakan tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri,” tambahnya.

Rosli berkata, PN Pahang menyokong hasil ekonomi daripada industri durian di negeri itu dipulangkan semula kepada kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast