rejim zionis
Hamzah Zainudin.-Foto FAREEZ FADZIL, 11 November 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa kerajaan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membunuh kredibiliti parti itu dan Perikatan Nasional.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun berkata, beliau yakin rakyat akan menyedari taktik yang digunakan.

Hamzah mendakwa, tindakan SPRM ke atas Bersatu sebagai strategi untuk mengalih pandangan rakyat daripada isu nepotisme dan kelemahan kerajaan.

“Bersatu melahirkan rasa kesal terhadap tindak-tanduk kerajaan PH-BN yang menjadikan agensi kerajaan sebagai alat untuk mencapai matlamat politik mereka bagi membunuh kredibiliti Bersatu dan Perikatan Nasional.

“Kami yakin, rakyat sentiasa sedar mengenai strategi jelek PH-BN yang mahu memesong perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan serta amalan nepotisme kerajaan mereka.

“Bersatu sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik. Semua ahli-ahli Bersatu dan pemimpin semua peringkat diminta bersabar dan terus beristiqamah dalam menghadapi ujian dan fitnah ini,” kata Hamzah.

Beliau memberi reaksi terhadap laporan media bahawa SPRM telah mengambil tindakan membeku akaun Bersatu.

Hamzah berkata, Bersatu akan memberi kerjasama terhadap siasatan yang akan dijalankan oleh SPRM.

Bersatu menurut beliau, dapat menerima alasan bahawa langkah yang diambil SPRM adalah sebahagian daripada proses siasatan terhadap fitnah yang dilemparkan kepada Bersatu.

“Bersatu akan terus memberi kerjasama dalam siasatan ini agar fitnah jahat ke atas Bersatu dapat dihentikan segera.

“Para pemimpin dan pegawai parti Bersatu yang diminta memberi keterangan kepada SPRM juga telah diarahkan agar memberi kerjasama sepenuhnya,” kata Hamzah dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hari ini mengesahkan pihaknya membeku akaun Bersatu.

Media melaporkan, akaun Bersatu dibekukan pihak berkuasa sejak dua minggu lalu bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Pada awalnya pembekuan berkenaan didakwa ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana dana rangsangan kerajaan – berjumlah RM92.5 bilion – semasa pandemik Covid-19 dan didakwa diselewengkan.

Bagaimanapun sumber SPRM yang enggan dikenali mendakwa, pembekuan dibuat bagi menyiasat dakwaan Bersatu menerima sumbangan daripada kira-kira 10 kontraktor yang mendapat pelbagai projek semasa parti itu menjadi kerajaan.

Sumber itu mendakwa, jumlah sumbangan itu disyaki berjumlah lebih RM300 juta.

Dakwa sumber berkenaan, baki dalam dua akaun bank Bersatu ketika ini adalah sekitar RM40 juta.-MalaysiaGazette

Azam Baki sahkan akaun Bersatu dibeku