Azam Baki

KUALA LUMPUR – Tan Sri Azam Baki mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun-akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Pengesahan itu diberikan selepas parti terbabit mendedahkan akaun mereka untuk tahun 2020 dan 2021.

Pembekuan akaun berkenaan disahkan oleh salah seorang anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman.

Semalam, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad menyiarkan penyata akaun Bersatu bagi tahun 2020 dan 2021 yang telah diaudit dan menyeru Parti Keadilan Rakyat dan DAP melakukan perkara sama.

Difahamkan pembekuan akaun Bersatu itu berkaitan dengan siasatan dakwaan penyelewengan berbilion ringgit untuk pakej rangsangan Covid-19.

Namun, sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassinmenafikan dakwaan berlakunya penyelewengan dana RM92.5 bilion ketika pentadbirannya. – MalaysiaGazette