masjid PH BN miskin tegar
Nazree Yunus

SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) Rembau mempersoalkan tindakan kerajaan negeri membatalkan pelantikan pengerusi, setiausaha dan bendahari masjid dalam masa yang singkat.

Ketua Badan Perhubungan PN Rembau, Nazree Yunus berkata, lebih mengejutkan, pembatalan itu dilakukan selepas calon-calon terbabit lulus dalam temuduga yang diadakan sebelumnya.

Beliau memberi contoh seperti apa yang berlaku di Masjid Ar-Raudhah Kariah Taman Rasa Sayang, Masjid Bandar Baru Senawang dan Masjid At – Taufiqiyah Taman Pinggiran Senawang, berlaku pertukaran pengerusi, setiausaha dan bendahari yang telah dilantik pada 28 Disember lalu namun dibatalkan pelantikan dua hari selepasnya.

“PN Rembau melihat bahawa situasi ini menunjukkan ketidakcekapan kerajaan negeri dalam menguruskan hal ehwal masjid.

“Sewajarnya kerajaan negeri mencerakinkan dan mencermati isu ini secara teliti sebelum dibuat pertukaran pelantikan secara mengejut yang mempamerkan pendekatan yang tidak profesional,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nazree memberitahu, kegagalan dalam mempamerkan ketelusan demokrasi dalam isu pelantikan pengerusi, setiausaha dan bendahari masjid ini, akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap hikmah kepimpinan kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH).

Pada masa yang sama, PN Rembau bersedia menerima aduan dan pandangan pihak jawatankuasa masjid yang terlibat dalam hal ini dan aduan rakyat mengenai permasalahan yang dihadapi melalui e-mel di [email protected].

“PN Rembau bersedia untuk berdialog secara ilmiah dan terbuka dengan pihak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atau pihak yang berkaitan dengan hal ini bagi mendapatkan pencerahan keadilan yang lebih bermakna dan berhikmah,” jelasnya. – MalaysiaGazette