Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 02 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu adanya kerjasama antara kerajaan dan swasta dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).

Bagi tujuan itu, sebuah jawatankuasa diwujudkan untuk mempastikan latihan dan kursus yang ditawarkan menerusi TVET memenuhi keperluan semasa.

Katanya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan memastikan adanya langkah-langkah tambahan dalam mengenal pasti syarikat swasta yang sesuai.

Menurut beliau, langkah itu adalah bagi mempastikan dan menyelesaikan masalah latihan ataupun kurus-kursus tidak sepadan ditawarkan di institusi-institusi TVET.

anwar brkata, ia merupakan satu keputusan besar yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan akan dibentangkan dalam Belanjawan 2023 pada 24 Februari nanti.

“Jadi, ini latihan yang tak diperlukan oleh industri ataupun kemudahan-kemudahan yang tidak memuaskan.

“Ini satu keputusan yang besar dan minta tindakan diambil segera, selain kita akan jelaskan dalam belanjawan pada 24 haribulan nanti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Zahid dan Datuk Seri Fadillah Yusof turut hadir dalam sidang media itu.

Perdana Menteri menambah, pemain industri utama negara akan terbabit terus mengurus latihan TVET dan seterusnya menyediakan pelajar yang dilatih memasuki alam pekerjaan dengan pendapatan munasabah.

Jelasnya, TVET mendapat peruntukan RM6.7 bilion, merangkumi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi dan terdapat 500 institut kemahiran latihan awam dengan pelatih sekitar 250,000 orang.

“Saya usulkan langkah segera untuk memastikan anak-anak ini dilatih dan mendapat pekerjaan serta pendapatan yang munasabah.

“Kita cadangkan pusat latihan TVET di Pengerang, kita minta diambil oleh Petronas, yang akan urus dan DRB-HICOM di Pekan akan menguruskan bidang automobil,” ujarnya.

TVET merupakan proses pendidikan dan latihan yang berhala tuju dengan pekerjaan dan penekanan utama terhadap amalan dalam industri.

Menerusi TVET, tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang tertentu dapat dibentuk serta memenuhi kehendak industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast