cuepacs gaji
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) diminta meneliti untuk memanjangkan semula had tempoh bayaran pinjaman termasuk pembiayaan peribadi daripada 10 tahun kepada 20 tahun.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, langkah ini dapat meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan mengelakkan masalah muflis.

Dengan itu, peminjam dapat membuat bayaran balik pinjaman lebih rendah, sekali gus membantu rakyat yang sedang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup serta kesan pasca Covid-19.

Menurutnya,  pada 2013 BNM mengeluarkan pekeliling memendekkan tempoh pembiayaan peribadi dari 25 tahun kepada 10 tahun dan pinjaman perumahan dari 45 tahun kepada 35 tahun.

Keputusan itu mengakibatkan jumlah bayaran bulanan yang perlu dibayar oleh peminjam baharu menjadi lebih besar hingga mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna mereka.

“Langkah BNM ketika itu memberi kesan kepada pendapatan boleh guna rakyat yang mahu melakukan pinjaman apatah lagi dengan situasi harga rumah yang meningkat begitu drastik waktu tersebut.

“CUEPACS berpandangan langkah memanjangkan semula tempoh pembiayaan wajar dilaksanakan semula ketika rakyat sedang terkesan susulan peningkatan kos sara hidup serta kesan pasca Covid-19 kerana jumlah bayaran balik pinjaman akan menjadi lebih rendah.

“Bayaran semula pinjaman yang rendah ini membolehkan rakyat mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Adnan lagi, cadangan itu juga melegakan mereka yang mahu melakukan pinjaman kerana bayaran bulanan menjadi lebih rendah jika had tempoh pembiayaan dipanjangkan.

Selain beliau, para peminjam yang terjejas pendapatan boleh membuat penstrukturan semula tempoh dan bayaran bulanan kepada jumlah yang lebih mampu, dengan ini boleh mengelakkan masalah kebankrapan atau muflis daripada berlaku.

Adnan berkata, langkah tersebut dijangka mampu merancakkan semula ekonomi kerana pendapatan boleh guna rakyat lebih bertambah serta dapat mengurangkan tekanan hidup.

Malah, katanya, operasi peniagaan koperasi kredit dan institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM boleh kembali berkembang.

Apa yang lebih penting katanya, ia mampu memberi peluang kedua kepada rakyat yang mungkin terhimpit sehingga perlu melalui proses kebankrapan menstruktur semula kewangan mereka.

”Langkah ini dapat memberi situasi menang-menang kepada rakyat yang boleh menjalani hidup seperti biasa tanpa perlu melalui proses kebankrapan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette