Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bercakap kepada media ketika Program 'Hiking' PDRM bersama Komuniti peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di Taman Perseketuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Orang awam perlu akur dengan pada kod etika berpakaian ketika mahu membuat aduan atau sebarang urusan lain di balai polis kecuali membabitkan kes kecemasan serius antara ‘hidup dan mati’.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan, etika itu selaras dengan prinsip kelima dalam Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan.

Menurut beliau, etika berpakaian untuk orang awam berurusan di balai polis ketika ini berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).

”Kita mahu masyarakat yang berurusan di pejabat kerajaan dalam keadaan yang tertib dan sopan.

“Namun, kita boleh membuat kelonggaran (etika berpakaian) berdasarkan jenis kecemasan yang dihadapi pengadu ketika membuat laporan di balai polis.

”Dalam keadaan kecemasan, bolehlah buat kelonggaran, (tetapi) tengok apa bentuk kecemasan itu, sama ada berkait dengan hidup mati atau boleh diberikan sedikit kelonggaran dan seumpamanya,” katanya ketika ditemui pada program program ‘hiking’ bersama Polis Diraja Malaysia di Taman Persekutuan Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Acara itu turut disertai Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Acryl Sani mengulas kejadian seorang wanita yang berang selepas dihalang daripada memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kerana memakai seluar pendek di atas paras lutut pada Isnin lalu.

“Saya difahamkan, pengadu tersebut memakai seluar pendek, anggota polis yang bertugas telah menasihatinya menukar pakaian yang lebih sopan, mungkin telah berlaku salah faham dalam kejadian itu,” katanya.

Selasa lalu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilaporkan berkata, wanita berusia lingkungan lewat 30-an berkenaan hadir ke IPD Kajang untuk membuat laporan berhubung satu kemalangan jalan raya.

Anggota polis mendapati wanita berkenaan memakai seluar pendek paras paha (di atas paras lutut) dan telah menasihatinya supaya menukar seluar yang lebih sesuai selaras etika pemakaian di premis kerajaan.

Acryl Sani percaya isu berkenaan timbul akibat salah faham turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan ketika mengunjungi pejabat kerajaan. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.