Datuk Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengesahkan penyertaannya dalam Amanah selepas tidak lagi bersama UMNO.

Malah beliau mahu menarik lebih 2,000 penyokongnya menyertai parti yang diketuai oleh Mohamad Sabu itu.

Zahidi berkata, penyertaan dalam Amanah setelah bertemu dan berbincang dengan lebih 150 penyokongnya dalam satu pertemuan semalam di Perlis.

“Untuk itu, dalam masa dua minggu mulai sekarang kita akan menguar-uarkan hasrat menyertai Amanah kepada para penyokong lain sebelum secara beramai-ramai menyerahkan borang penyertaan ke dalam parti Amanah.

“Saya yakin seramai lebih 2,000 penyokong tegar akan menyertai saya menyertai Amanah. Perjumpaan semalam (Sabtu) melibatkan 150 orang memang kita hadkan.

“Hasil pertemuan dan perbincangan semalam, ramai lagi diyakini akan mengikut jejak saya,” katanya.

Zahidi berkata, borang penyertaan parti Amanah itu akan diserahkan kepada Mohamad Sabu.

“Kita berharap satu pertemuan dengan Mohamad Sabu dapat diadakan dan menyerahkan borang penyertaan ke dalam parti itu,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Zahidi yang dulunya Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO tidak dicalonkan namun bertanding di Perlis atas kapasiti calon bebas namun kalah.- MalaysiaGazette