chicken ceiling price subsidy
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Walaupun berlaku kebimbangan mengenai kekurangan bekalan ayam pada musim perayaan Aidilfitri, Presiden Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Tan Chee Hee berpendapat keadaan itu tidak akan berlaku.

Beliau berkata, penternak dan pengusaha biasanya akan membuat persediaan awal untuk hari-hari perayaan dan menambahkan pengeluaran.

Katanya, dengan bekalan daripada pengusaha makanan diproses yang berasaskan ayam, keadaan kekurangan dijangkakan tidak akan berlaku.

“Keadaan (raya) tahun lalu adalah paling kritikal, tetapi keadaan sama dijangka tidak berlaku pada tahun ini. Pihak penternak juga tahu keadaan semasa,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media mengenai kemungkinan berlaku kekurangan bekalan ayam semasa perayaan Aidilfitri.

Selain permintaan yang dijangka melonjak menjelang raya, kos pengeluaran termasuk harga anak ayam yang meningkat dilaporkan mungkin menyebabkan penawaran tidak dapat menampung permintaan yang tinggi semasa Aidilfitri.

Chee Hee berkata, walaupun pengeluaran berkurangan disebabkan kawalan pergerakan sebelum ini, tetapi keadaannya sudah semakin pulih selari dengan peralihan masa.

Katanya, bantuan subsidi daripada kerajaan juga membantu memulihkan pengeluaran daging ayam ke tahap normal.

“Walaupun harga anak ayam mahal sedikit, tetapi penternak boleh melakukan penyelarasan dan mereka boleh menampung permintaan tinggi semasa Aidilfitri,” katanya. – MalaysiaGazette