Jersi baharu Penang FC musim ini.

KUALA LUMPUR – Penang FC meminta seorang pengguna Facebook tampil ke hadapan selepas mendakwa terdapat seorang individu daripada pihak pengurusan terlibat dalam aktiviti cetak rompak jersi Harimau Kumbang.

Menerusi kenyataan di Facebook miliknya, Penang FC mengganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh pengguna berkenaan adalah satu bentuk helah muslihat perang saraf media untuk melaga-lagakan pihak pengurusan Harimau Kumbang.

Penang FC juga mengambil serius kerana disebabkan tuduhan berkenaan, setiap individu dalam pihak pengurusan mulai melahirkan rasa syak wasangka sesama sendiri dan menggoyah keyakinan orang luar terhadap Penang FC.

“Dengan itu, kekeluargaan yang harmoni dalam Penang FC akan bergoncang. Taktik semacam seperti ini sudah basi. Datanglah ke pejabat Penang FC demi kebenaran. Dalam Akta Whistle Blower, pemberi maklumat akan dilindungi.

“Sama-samalah kita menginsafi ingatan Tuhan dalam Surah Al Hujurat yang mafhumnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan,” tulis laman rasmi Penang FC.

Kenyataan itu menambah, dakwaan tersebut juga dikhuatiri mempunyai maksud tersirat sehingga membawa maksud berbeza bagi pembaca khususnya penyokong Haria Penang Haria.

“Dalam hal ini, bukan soal integriti Penang FC yang dibimbangi, tetapi nilai-nilai ketelusan si penulis berdasarkan latar belakangnya yang lebih dikhuatiri mempunyai maksud tersirat bagi pembaca yang tidak dapat mengerti apa tujuan di sebalik tuduhan umum itu.

“Boleh jadi, si penulis berpandukan suatu entiti yang lain untuk dijadikan bandingan sebagai fakta terkait,” tulisnya.

Sementara itu, pembekal dan pengeluar jersi skuad Harimau Kumbang untuk musim 2023, Kaki Jersi turut mengulas akan tuduhan yang dilemparkan itu.

Tegas mereka, tiada kemungkinan penipuan dan cubaan cetak rompak itu berlaku kerana tiada pihak yang mempunyai akses untuk mendapatkan reka bentuk digital jersi baharu mereka.

“Tiada blueprint atau yang lebih tepat, soft copy design tidak pernah diberikan kepada mana-mana pihak. Ingin kami maklumkan pihak Kaki Jersi dan Penang FC bersama-sama dengan pihak berwajib akan berkempen dalam membanteras jualan jersi cetak rompak,” katanya.

Terdahulu, pengguna akaun, Inter Johor Firms membuat dakwaan bahawa terdapat seorang individu yang bekerja dalam pihak pengurusan Penang FC membuat akviti cetak rompak jersi.

Dia menuduh bahawa individu berkenaan terlebih dahulu mencetak jersi Penang FC pada 1 Februari sebelum pihak pengurusan melancarkan jersi rasmi skuad Harimau Kumbang pada 5 Februari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast